:: Aisyah r.ha. isteri yang kreatif mempamerkan cintanya ♥ ::
LUMRAH cinta, seorang kekasih akan cenderung kepada seorang sahaja kekasih dalam hati dan perasan. Begitulah kecenderungan cinta Rasulullah s.a.w. kepada Aisyah r.ha., ia bukan lagi satu rahsia.
Siapakah wanita pertama di hati Rasulullah s.a.w. selepas Khatijah r.ha.? Bukan Saudah r.ha. sebaliknya Aisyah r.ha., walapun Rasulullah menikahi Saudah r.ha dan Aisyah r.ha. pada masa yang hampir sama. Saudah pada ketika itu ialah janda yang sudah berusia, mungkin seusia Baginda. Secara zahirnya sudah tentu Saudah tidak menarik namun atas dasar simpati, Rasulullah menikahinya. (Mahmud al-Mishri, Sirah Sahabiyah, hlm. 35)
Memandangkan Aisyah r.ha. masih kecil, Saudah r.ha. lebih dahulu berada di sisi Nabi setelah Khadijah r.ha. Namun begitu, Aisyah r.ha. lebih dahulu memenangi hati dan cinta Baginda s.a.w..
Allah s.w.t. banyak kali menghadirkan mimpi tentang wanita bernama Aisyah r.ha. sebelum hadirnya Saudah r.ha. Dalam kecemburuan, Aisyah redha seorang demi seorang janda-janda yang perlukan pembelaan, menumpang kasih suaminya, Nabi s.a.w. Kenapa? Kerana dia sedar semua itu untuk kepentingan Islam, bukan kepentingan nafsu Baginda.
Oleh sebab lumrah cinta yang tiada "dua" ini, Prof Dr. Mahmud Zuhdi menjelaskan dalam bukunya, Undang-undang keluarga Islam bahawa majoriti ulama mengatakan poligami itu diharuskan, bukannya digalakkan.
KELEBIHAN AISYAH R.HA.
Aisyah r.ha. berbicara: "Ada tujuh kelebihanku yang tidak dimiliki wanita lain kecuali kelebihan yang diberikan Allah s.w.t. kepada Maryam binti 'Imran. Demi Allah, dengan mengatakan hal ini aku tidak bermaksud membanggakan diriku atas teman-temanku (isteri-isteri Rasulullah yg lain)."
Abdu;;ah bin Safwan bertanya: "Apakah tujuh kelebihan itu wahai Ummul Mukminin?"
Aisyah r.ha. menjawab:
1- Malaikat (Jibrail) membawa imejku kepada Rasulullah s.a.w. (dalam mimpi).
2-Rasulullah s.a.w. menikahiku waktu diriku berumur 7 tahun, lalu aku diserahkan serumah dengan Baginda pada usia 9 tahun. Baginda menikahiku waktu aku perawan.
3- Beliau pernah menerima wahyu ketika berada dalam satu selimut denganku.
4- Aku adalah orang yang paling dicintai oleh Baginda dan puteri daripada orang yang paling Baginda sayangi (Abu Bakar).
5- Allah menurunkan beberapa ayat-ayat al-Quran kerana aku, sedang waktu umat hampir celaka kerananya.
6- Aku pernah melihat Jibrail dan tidak seorang pun antara isteri-isteri Baginda yang lain pernah melihatnya.
7- Rasulullah s.a.w. wafat di rumahku, pada waktu tiada orang selain diriku dan malaikat.
Al-Haithami berkata dalam Majma' al-Zawa'id no.15308, 'Riwayat ini tercantum dalam kitab al-Sahih dengan ringkas smentara riwayat di atas daripada al-Tabrani. Para perawi dalam salah satu sanad riwayat al-Tabrani ialah perawi-perawi kitab al-Sahih. (Rujuk juga riwayat al-hakim, jil. 4, hlm 10) Al-Hakim menyatakan hadis ini sahih dan al-Zahabi menyetujuinya.
KEDUDUKAN AISYAH R.HA. DI HATI RASULULLAH .S.A.W.
Dalam riwayat lain, aisyah r.ha. bercerita, "Rasulullah s.a.w. memasuki rumahku dan Baginda mendapatiku sedang menangis. Baginda bertanya:'Mengapa dikau menangis?' Aku menjawab: 'Fatimah menghinaku.'
"Rasulullah s.a.w. segera memanggil fatimah lalu berkata: 'Wahai fatimah, adakah benar anakanda menghina Aisyah?' fatimah menjawab:'Benar, wahai Rasulullah.' Rasulullah s.a.w. berkata: 'Bukankah anakanda mencintai apa yang ayahanda cintai?' Fatimah menjawab: 'Sudah tentu.' Rasulullah s.a.w. berkata: ' Sesungguhnya ayahanda mencintai Aisyah, maka cintailah dia.' Fatimah berkata: 'Kalau begitu, saya tidak akan lagi mengatakan sesuatu yang dapat menyakiti Aisyah.'"
(Al-Haitami, Majma' al-Zawa'id no.15311) Perai-perawi lain adalah para perawi kitab al-Sahih.
CEMBURU AISYAH TANDA BESARNYA CINTA.
Aisyah r.ha. menceritakan, "Suatu ketika Rasulullah s.a.w. berkata kepadaku: 'Sesungguhnya kanda tahu bila dinda sedang senang kepada kanda dan bila dinda sedang marah.' Aku bertanya: 'Bagaimana kanda tahu?' Baginda menjawab; 'Jika dinda sedang senang kepada kanda, maka dinda akan mengatakan, demi Tuhan Muhammad! Tapi jika sedang marah, dinda akan mengatakan, tidak, demi tuhan Ibrahim!' Aisyah berkata: 'Itu benar. Demi Allah! Dinda hanya mampu menjauhi namamu.'"
(Muttafaq 'alaih)
Imam al-Nawawi berkata, "mengenai pernyataan Rasulullah s.a.w. kepada Aisyah r.ha. ini, al-Qadhi berkata, 'Kemarahan Aisyah kepada nabi adalah dalam bentuk kecemburuan kepada Baginda. Kecemburuan menjadi faktor tidak berlakunya banyak hukum bagi wanita, kerana ia (cemburu) tidak dapat dipisahkan daripada wanita. Bahkan Imam Malik dan ulama-ulama Madinah lainnya berpendapat, tidak berlaku bagi wanita yang menuduh suaminya berzina ketika ia sedang cemburu. Pendapat ini berdasarkan hadis Nabi s.a.w. yang bermaksud: 'Wanita cemburu tidak dapat membezakan antara bibir lembah dan dasarnya.'"
Jika pengertian hadis di atas tidak bermaksud kemarahan kerana cemburu, maka Aisyah berada dalam kedudukan yang sangat sulit kerana marah dan menjauhi rasulullah s.a.w. adalah dosa besar. Untuk itu, Aisyah r.ha. berkata, "Dinda hanya mampu menjauhi namamu." Ini menunjukkan perasaan hati dan kecintaanya kepada Rasulullah s.a.w. tetap seperti sediakala. Kecemburuannya didorong oleh rasa cinta yang terlalu tinggi." (Sahih Muslim bi Syarh al-Nawawi, jil. 15, hlm 292-293)
Aisyah r.ha. mengatakan bahwa dia pernah bertanya: "Ya Rasulullah, siapakah orang yang paling kanda cintai?" Naginda bertanya kembali: "Kenapa dinda bertanya seperti itu?' Aisyah menjawab: "Dinda ingin mencintai orang yang kanda cintai." Baginda menjelaskan: "Dia ialah Aisyah." (Al-Haithami, majma' al-Zawa'id no. 15309. Hadis ini diriwayatkan oleh Tabrani, sanadnya hasan)
LEBIH MEMILIH ZUHUD
Urwah mengatakan bahawa Aisyah r.ha. berkata, "Demi Allah, wahai anak saudaraku. Kami pernah melihat kemunculan bulan sabit, lalu bulan sabit berikutnya, lalu bulan sabit berikutnya, yakni tiga kali kemunculan bulan sabit atau dua bulan berturut-turut, sedangkan di rumah-rumah rasulullah sama sekali tidak dinyalakan api (untuk memasak)."
Urwah bertanya: "Lalu dengan apa kamu dapat bertahan hidup?" Aisyah menjawab: "Dengan al-aswadan, yakni kurma dan air. Hanya saja, Rasulullah s.a.w. mempunyai beberapa jiran tetangga daripada kalangan Ansar yang mempunyai kambing. Mereka sering mengirimkan susu kepada beliau. lalu beliau memberikan kepada kami." (Muttafaq 'alaih)
Cerita tentang kezuhudan Aisyah r.ha. terlalu banyak. Dia memilih kesederhanaan walaupun seringkali dilimpahkan kekayaan. Antara cerita yang masyhur ialah Urwah pernah menggambarkan gaya hidup Aisyah bahawa dia pernah membahagi-bahagikan 70, 000 dirham wang perak padahal pada waktu yang sama dia menampal jahitan pakaiannya. (Ima Ahmad, al-Zuhd, hlm. 205-206)
Suatu ketika, Muawiyah pernah mengirimkan 100, 000 dirham kepada Aisyah r.ha. Maka Aisyah terus membahagi-bahagikan tanpa meninggalkan sedikit pun. Sehingga Barirah berkata: "Sesungguhnya puan sedang berpuasa. Mengapa puan tidak tinggalkan satu dirham sahaja untuk membeli daging?" Aisyah lalu berkata: " Kalau tadi kamu mengingatkan, sudah tentu saya melakukannya." (Riwayat Abu Nua'im dalam al-Hilyah, jil. 2 hlm.7)
BANYAK SOLAT DAN PUASA
Urwah menuturkan bahawa Aisyah r.ha. sering berpuasa. Al-Qasim mengatakan bahawa Aisyah berpuasa sepanjang masa. Ia hanya berbuka (tidak berpuasa), pada hari Aidiladha dan Aidilfitri.
Dalam satu riwayat, Urwah menceritakan bahawa dia sering memulai harinya dengan mengunjungi ibu saudaranya, Aisyah r.ha. untuk mengucapkan salam. Suatu hari, dia pergi berjumpa Aisyah ketika dia sedang solat dan berdoa. Aisyah terus berdoa dan menangis sambil mengulang-ulang bacaan surah al-Tur, ayat 27 yang bermaksud, "Maka Allah memebri kurnia kepada kami dan memelihara kami daripada azab neraka." Urwah berdiri dengan lama hingga dia berlalu pergi ke pasar untuk membeli keperluan. Apabila kembali semula ke rumah Aisyah r.ha., dia melihat Aisyah masih lagi solat dan menangis.
TAHAN UJIAN
Aisyah mengikuti Rasulullah s.a.w. dalam perang Mustaliq setelah undia. Sekembali daripada peperangan ini, beliau ditimpa ujian berat berupa fitnah perlakuan sumbang.
Ia bermula apabila beliau kehilangan kalung lalu mencarinya sehingga tertinggal rombongan. Kebetulan Safwan bin Mua'ttal al-Sullami berjalan di belakang. Apabila melihat Aisyah, dia lalu membiarkan Aisyah menaiki untanya lalu dituntun menyusuli rombongan. Fitnah menular dengan cepat sehingga Rasulullah s.a.w. bersedih.
Aisyah yang yakin dengan pembelaan Tuhannya hanya mampu bersabar. Akhirnya Allah membersihkan Aisyah daripada fitnah itu dengan turunnya ayat al-Quran mengenainya.
PEMALUNYA MENGHIAS IMAN
Ummul mukminin Aisyah berkata, "Setiap kali aku masuk kerumahku yang didalamnya dimakamkan jasad Rasulullah s.a.w. dan ayahku sendiri, dan ketika hendak membuka baju, aku berkata dalam hati, 'Tidak perlu malu kerana di sini hanya ada suamiku dan ayahku sendiri.' Tetapi setelah Umar r.a. dimakamkan disitu, demi Allah, setiap kali berada di dalam rumah aku sentiasa memakai pakaian yang lengkap keran malu kepad Umar r.a." (Al-Qurtubi, Bahjah al-Majalis)
Sungguh indah peribadi beliau yang begitu malu walaupun kepada insan-insan yang sudah tidak bernyawa.
MENGIKUTI JEJAK KEKASIHNYA
Qais mengatakan bahawa Aisyah r.ha. pernah bercita-cita ingin dikuburkan didalam rumahnya, disisi Nabi s.a.w. Namun kemudian beliau berkata, "Sesungguhnya aku melakukan kesalahan setelah perginya Rasulullah s.a.w. Maka, kuburkanlah jasadku bersama isteri-isteri baginda." Oleh sebab itu Aisyah dikuburkan di Baqi'. (Riwayat Ibn Sa'ad, jil. 8, hlm. 74)
Maksud kesalahan itu adalah beliau terlibat dalam perang jamal. Aisyah sangat menyesalinya walaupun dia sebenarnya langsung tidak berniat ke arah itu. Dia cuma berijtihad melakukan kebaikan.
Pada Ramadhan tahun 58 Hijrah, Ummul Mukminin Aisyah r.ha. menghembuskan nafasnya yang terakhir. Ketika perginya Aisyah r.ha., Ummu Salamah mengumumkan, "Demi Allah, dia adalah orang yang palin dicintai Rasulullah s.a.w. selain ayahnya." Jasad Aisyah r.ha. dimakamkan pada malam itu juga setelah solat witir.
Comments
Post a Comment