PROFIL MUNAFIK


Kemunafikan merupakan sikap yang amat dibenci oleh Allah SWT. Allah mengancam orang yang munafik dengan seksaan api neraka. Allah juga telah merakam dan menggambarkan secara terperinci ciri-ciri munafikan ini. Sesungguhnya dengan hikmah dan rahmat Allah jua kita dipertontonkan segala profil orang munafik.

Kebencian Allah terhadap sifat munafik ini begitu jelas di dalam al-Qur'an. Contohnya mari kita meneliti pada awal surah al-Baqarah. Sebagai suatu perbandingan, Allah telah menerangkan 5 ayat untuk orang beriman, 2 ayat untuk kaum munafik. Bahkan terdapat satu surah khusus yang Allah namakan sebagai surah Munafikin.

Tanpa petunjuk Allah, suatu yang sukar dan sulit bagi kita untuk memahami karakter golongan munafik. Golongan manusia yang sentiasa menyembunyikan segala kejahatan yang tersirat di hati namun secara zahirnya memperlihatkan kebaikan perilaku Islam. Mereka begitu mempesonakan dari segi penampilan sedang di dalam jiwanya tersembunyi penyakit yang amat berbahaya bagi Islam dan umatnya. Berikut ini beberapa ciri-ciri sifat munafik yang dapat dikutip dan dipetik dari al-Qur'an al-Karim:

1. Mengaku beriman untuk menipu dan mengambil keuntungan dari orang-orang yang beriman.

Di antara manusia ada yang mengatakan : "Kami beriman kepada Allah dan Hari Kemudian, padahal mereka itu sesungguhnya bukan orang yang beriman. Mereka hendak menipu Allah dan orang-orang yang beriman, pada hal mereka menipu dirinya sendiri sedang mereka tidak sedar." (Surah al-Baqarah :8-9)

Inilah ciri pertama. Ia datang dengan baju yang sama tetapi dengan niat yang berbeza. Slogan mereka sering menggunakan simbol atau idiom yang biasa digunakan oleh orang beriman. Bahkan mereka juga seperti orang Islam yang lain dengan melaksanakan solat, puasa, zakat dan haji. Dengan berbuat demikian, mereka berharap dapat dipercayai sebagai orang yang beriman namun taring-taringnya sentiasa siap-sedia untuk menguasai orang-orang yang beriman.

Setelah kepercayaan dan keyakinan orang beriman kepada kereka kuat dan kukuh barulah mereka melangkah kepada perancangan memurtadkan dan mengkafirkan umat Islam secara besar-besaran melalui pelbagai cara.

2. Sering melakukan kerosakan namun mengumumkan secara rasmi kepada seluruh masyarakat mereka sebagai orang yang melakukan kebaikan.

Sistem moral dan sosial ekonomi dan politik serta sumber alam merupakan objek yang dirosakkan oleh mereka. Mereka mengubah budaya masyarakat yang masih lurus dan bersih dengan bertopengkan kemajuan dan pembangunan mendakwa inilah kemodenan. Namun hakikatnya, mereka menjadikan budaya yang baik kepada budaya yang melapangkan jalan kepada gaya hidup hedonisme, seks bebas, homoseks dan seumpamanya.

Dengan dalih untuk menyelamatkan kehidupan rakyat, diperbolehkan asas monopoli dan oligopoli (keadaan pasaran yang hanya terdapat sedikit penjual). Peraturan-peraturan yang akan merosakkan dan menghancurkan sendi-sendi ketenangan masyarakat ditegakkan.

Di dalam al-Qur'an dinyatakan :"Dan bila dikatakan kepada mereka: Janganlah kamu membuat kerosakan di muka bumi". Mereka menjawab: "Sesungguhnya kami orang-orang yang mengadakan perbaikan. Ingatlah, sesungguhnya mereka itulah orang-orang yang berbuat kerosakan, tetapi mereka tidak sedar." (Surah al-Baqarah : 11-12)

3. Mengambil orang-orang kafir sebagai teman-teman penolong mereka dengan meninggalkan orang mukmin.

Mereka lebih suka bergaul dan bercampur dengan orang-orang kafir agar memudahkan mereka melakukan perkara-perkara nifaq. Mereka menjadikan orang-orang yang memusuhi Allah sebagai rakan kongsi suka duka, sebagai penolong dan sahabat setia. Sementara terhadap orang beriman, mereka lebih suka menjauhkan diri dan menjaga jarak mereka dengan orang-orang yang beriman. Mereka sedar bahawa interaksi yang aktif dengan orang beriman akan membuka topeng mereka.

Firman Allah Taala yang bermaksud: "Khabarkanlah kepada orang munafik bahawa mereka akan mendapat seksa yang pedih. (iaitu) orang-orang yang mengambil orang kafir menjadi teman-teman penolong dengan meninggalkan orang-orang mukmin. Apakah mereka mencari kekuatan di sisi orang kafir? Maka sesungguhnya semua kekuatan kepunyaan Allah." (Surah An-Nisaa' :138-139)

4. Amat suka memperolok-olokkan ayat Allah.

Inilah ciri yang biasa dilihat dari ucapan mereka. Perintah dan larangan Allah bagi mereka hanyalah sekadar bahan tawa. Yang lebih tidak sopan lagi apabila perintah Allah sering mereka ubah dalam keadaan penuh sedar, seolah-olah perintah itu hanyalah berasal dari manusia yang tak memiliki kekuasaan dan kekuatan. Dalam bentuknya yang canggih usaha memperolok-olok ayat Allah semakin mendapat tempat dalam sistem yang mendokong jahiliah.

"Dan sesungguhnya Allah telah menurunkan kepada kamu di dalam al-Quran bahawa apabila kamu mendengarkan ayat-ayat Allah diingkari dan diperolok-olokkan (oleh orang-orang kafir), maka janganlah kamu duduk bersama mereka sehingga mereka mereka memasuki pembicaraan yang lain. Kerana sesungguhnya (kalau kamu berbuat demikian), tentulah kamu serupa dengan mereka. Sesungguhnya Allah akan mengumpulkan semua orang yang munafik dan orang-orang kafir di dalam jahanam." (QS An-Nisaa' : 140)

5. Malas untuk mendirikan solat dan sedikit mengingati Allah.

Sesuatu yang mustahil bagi golongan munafik untuk bertahan lama dalam menunaikan amal taat dan mengingati Allah sedangkan dalam hati mereka mengetahui apa sikap mereka terhadap Allah dan perintahNya.

"Sesungguhnya orang-orang munafik itu menipu Allah, dan Allah akan membalas tipuan mereka. Dan apabila mereka berdiri untuk bersolat mereka berdiri dengan malas. Mereka bermaksud riya' (dengan solat) di hadapan manusia. Dan tidak mereka menyebut Allah kecuali sedikit sekali". (Surah An-Nisaa' :142)

Walaupun ada ibadah yang mereka kerjakan, itu semua tidak terlepas dari kepentingan diri untuk mendapat pujian dan kredibiliti yang baik di sisi manusia. Bahkan, sering ibadah mereka hanyalah sebagai satu usaha untuk mengekalkan kekuasaan mereka dengan cara memperbodohkan umat sehingga umat itu sukar untuk memahami situasi yang sebenarnya. Fikiran mereka dipenuhi oleh berbagai tipu muslihat sehingga tidaklah mengingati Allah melainkan hanya sedikit.

6. Orang munafik benci berjihad.

Ketika dunia berada dalam keadaan aman dan tenang mereka sering berusaha merosakkan kekuatan Islam dari dalam. Namun, ketika terjadi peperangan, mereka sering berusaha mencari berbagai alasan untuk minta izin untuk tidak ikut sama berperang. Jika peperangan di sini dianalogikan dengan tugas-tugas yang menuntut tanggungjawab dan pengorbanan, maka orang-orang munafik sering mencari alasan untuk menolak tugas itu.

Sesungguhnya yang akan meminta izin (untuk tidak ikut berperang) kepadamu hanyalah orang-orang yang tidak beriman kepada Allah dan hari kemudian, dan hati mereka ragu-ragu, kerana itu mereka selalu bimbang dalam keraguannya. Dan jika mereka menyiapkan persiapan untuk keberangkatan mereka, maka Allah melemahkan keinginan mereka: "Tinggallah kamu beserta orang yang tinggal itu!" (Surah At-Taubah:45-46)

Sikap mereka yang enggan berjihad ini sebenarnya berpunca dari kelemahan jiwa dan pandangannya tentang hakikat hidup. Bagi mereka dunia adalah segala-galanya. Di sisi yang lain mereka sebenarnya berharap agar jihad tidak dapat ditegakkan di mana jua. Tertegaknya jihad merupakan bahaya terbesar bagi mereka. Tidak ada lagi ruang gerak berbagai aktiviti kemunafikan mereka. Sifat ini jelas amat berbeza dengan sikap orang beriman. Panggilan jihad adalah pintu yang mereka cari dan rebut untuk mencapai kebahagiaan abadi di sisi Rabb tercinta. Medan jihad adalah ubtuk membuktikan kecintaan mereka kepada pemilik syurga. Medan jihad merupakan dambaan mereka setiap waktu. Ketenangan dan kebahagiaan mereka ada di sana, laksana ikan yang selalu mendambakan air
http://ustazrabbani.blogspot.com

Ya Allah jauhikanlah aku dari bersikap munafik..aamiin

Comments

Popular Posts