Demokrasi Mesir, kemenangan untuk segelintir penipu besar



Al-Quran memaparkan bahawa di Mesir tercipta sejarah kemunculan Fir’aun, raja yang memerintah kerajaan paling zalim dan penipu dalam sejarah dunia. Al Quran adalah kitab suci petunjuk sepanjang zaman, bukan sahaja hukumnya, termasuk juga ceritanya. Peristiwa terkini menjadi kenyataan yang berulang bahawa Al-Quran adalah kalam Allah yang membawa petunjuk sepanjang zaman bukannya buku cerita.

Berlaku terkini selepas Arab Spring, satu pendedahan bahawa peristiwa pertengahan abad dua puluh yang baru berlalu oleh buku berjudul: Inside The Muslim Brotherhood, karya bersama Dr Yusuf Nada dan Douglas Thompson, memaparkan kisah benar berlaku di tahun lima puluhan (26 Okt. 1954), apabila regim tentera di bawah pimpinan Presiden Gamal Abdul Nasir ingin mengatasi pengaruh Gerakan Ikhwan Muslimin yang menguasai rakyat kerana dakwah, tarbiyah dan aktiviti politik dan kemasyarakatan dalam tajuk Islam yang sempurna yang sangat adil terhadap semua.  Walaupun adanya kerjasama yang baik dan aman oleh pihak Ikhwan dalam kerajaan bagi membuat perubahan selepas tentera mengambil alih kerajaan Mesir dan sehingga Ikhwan Muslimin bersama membebaskan Mesir daripada tentera British dan pembebasan Terusan Suez. Maka kerana takut dan dengki terhadap pengaruh Ikhwan di kalangan terbesar rakyat, maka satu drama bohong dilakonkan bagi mencipta tuduhan dan fitnah menyingkir Kumpulan Islam ini daripada bersama memimpin rakyat.

Setelah pemimpin pengasasnya Hasan Al-Banna syahid ditembak mati oleh polis kerana terlibat melemahkan tentera Israel dalam perang 1948, langkah yang paling tidak disenangi oleh kuasa Barat dan Timur. Satu langkah diambil bagi menyingkirkan Hasan Al Banna dengan pembunuhan yang kejam itu, kerana jasanya yang baik, bukannya kerana dosa dan kesalahannya.

Drama penipuan dilakonkan pula selepasnya, apabila Presiden Gamal Abdul Nasir yang berucap di pentas sambutan ulang tahun pengunduran tentera British diadakan di Medan Mansyiah bandar Iskandariyyah. Presiden Nasir dipakaikan terlebih dahulu dengan baju kalis peluru. Ketika sedang berucap, seorang ditugaskan untuk menembak ke arah yang tidak mengenai apa-apa sasaran. Apabila beberapa tembakan dilakukan menyebabkan  khalayak yang berhimpun dalam keadaan huru hara. Presiden yang  ditabalkan menjadi hero tampil semula ke hadapan mikrofon sambil mengangkat tangan menegaskan: “Sekiranya Gamal Abdul Nasir mati ditembak, maka seluruh rakyat Mesir adalah Gamal Abdul Nasir”. Tukang-tukang sorak yang dipasang di setiap penjuru berjaya membakar emosi rakyat yang hadir dengan kenderaan percuma dan media upahan mendukungnya di seluruh negara.

Selepasnya Ikhwan Muslimin dituduh terlibat dengan usaha membunuh Presiden hero yang gagah berani. Akhirnya ramai pemimpin dan pengikut yang ditangkap, dibicarakan di mahkamah lakonan dan ramai tokoh yang dihukum mati atau lama dipenjara sehingga dimakan usia setelah dibebaskan, walau pun mereka adalah kawan  bersama pada mulanya namun diperlakukan apa sahaja kerana gila kuasa.


Penipuan besar yang sangat zalim ini didedahkan kepada umum oleh beberapa tokoh kerajaan Mesir setelah tua dan insaf sebelum meninggal dunia, di antaranya ialah Hasan Al Tihami mantan Ketua Perisikan di masa pemerintahan Presiden Gamal Abdul Nasir, juga penghubung  dengan CIA, merangkap mantan Timbalan Perdana Menteri di zaman Presiden Anwar Sadat dan mantan Setiausaha Agung OIC.

Setiap yang membaca sejarah Mesir moden menyaksikan Fir’aun yang dipilih melalui pilihanraya juga, tetapi mesti menang 99% pengundi. Sehinggalah lakonan menipu didedahkan dengan berlakunya Arab Spring, apabila ledakan kebangkitan rakyat yang tidak boleh disekat, memaksa mantan Presiden Husni Mubarak daripada kalangan tentera diundurkan oleh gelombang kebangkitan rakyat yang tidak mampu dihalang.

Akhirnya Mesir memilih demokrasi hak rakyat menjadi hakim yang adil, secara piliharaya yang adil  juga, bebas dan telus, diperhatikan oleh pemantau dalam negeri dan luar negeri. Apabila pilihan raya diadakan, tiba-tiba kumpulan-kumpulan  Islam mencapai kemenangan, mendapat kerusi terbesar dalam Majlis Perwakilan Rakyat dan Majlis Syura. Selepasnya semua kumpulan Islam dan kumpulan sekular sederhana bersama NGO mendukung calon Muhammad Mursi daripada Ikhwan Muslimin, sehingga berjaya ditabalkan menjadi Presiden pertama yang dipilih rakyat secara pilihanraya yang dipantau sepenuhnya.

Presiden Muhammad Mursi menunjukkan sikap yang paling terbuka dan tidak menyalahgunakan kuasanya untuk membalas dendam dan jauh sekali salah laku, sehingga disaksikan oleh seluruh rakyat. Langkahnya menubuhkan kerarajaan campuran teknokrat, melibatkan ahli politik, pentadbir dan akademik, dari kalangan mereka yang bersih daripada salah laku kerajaan dahulu dan terdahulu. Tindakan mengatasi masalah tidak mudah, kerana masih dibebani saki baki kerajaan dahulu dan pentadbirannya daripada atas sehingga ke akar umbi. Masalah yang mencengkam rakyat dan kehidupannya sejak beraja dan republik,  beberapa dekad tidak mungkin diselesaikan oleh manusia paling bijak dalam masa sehari dua atau setahun.          

Terkini berlakulah peristiwa yang menjadi perhatian seluruh dunia, drama Firaun moden menyihir rakyat yang bodoh diulang lakonan dengan pelakon dan skrip yang berubah mengikut kehendak zaman dan penipunya. Presiden Muhammad Mursi dipecat oleh tentera dan parti-parti politik yang kalah pilihanraya, diangkat memerintah negara dengan kekerasan tentera.  Sebelumnya mahkamah yang masih dianggotai oleh tangan-tangan regim dahulu, membatalkan keahlian Majlis perwakilan Rakyat (Parlimen) sehingga keahliannya tidak mencukupi. Ahli-ahli politik parti-parti yang kalah pilihanraya yang gagal menggunakan politik wang walau pun dengan bantuan jentera kerajaan yang disalahgunakan gagal mencapai kemenangan dengan segala tipu dayanya.

Terdedah kepada umum betapa para pemimpin yang kalah pilihanraya menggunakan duit dengan bantuan negara serantau, menjadi khadam kepada negara yang masih bermusuh terhadap Islam, dengan semangat Islamofobia yang masih menghantui mereka, mengharamkan kumpulan Islam memimpin kerajaan walau pun melalui proses demokrasi.

Drama dilakonkan dengan mengumpan dan mengupah supaya dilakonkan demonstrasi yang diizinkan oleh kerajaan pimpinan Dr Muhammad Mursi, dengan alasan beberapa masalah yang tidak mungkin selesai dengan cepat. Rakyat miskin yang bodoh digunakan dengan wang, khususnya penghuni kawasan setinggan, perkuburan dan kaki lima sejak zaman dahulu kerana kerajaan dahulu sengaja tidak menyelesaikannya, supaya mudah dibeli undi dan menjadi pengundi hantu. Disertakan dengan protes tanda tangan berpuluh juta rakyat yang sangat diragukan kesahihannya kerana buta huruf dan buta akal.

Seterusnya digunakan saki baki angkatan tentera yang berpangkat  tinggi, melakukan rampasan kuasa bertopengkan demokrasi haram bagi membunuh demokrasi yang sah melalui pungutan suara yang adil, semata-mata bagi menyingkirkan kumpulan berkuasa, tanpa mengira bencana buruk mungkin berlaku selepasnya sehingga perang saudara yang berlarutan bagi peluang keemasan kepada peniaga-peniaga senjata mendapat duit Arab jahiliyyah bersama Firaun baru di Mesir.

Keadaan buruk yang tidak harus diundang boleh berlaku, apabila pada asalnya kumpulan Islam radikal yang tidak feqah politik telah berjaya dipujuk oleh para ulama yang bijaksana di Mesir ikut menyertai amalan Demokrasi akan berkata bahawa Demokrasi tidak berguna lagi.  Rakyat yang cintakan keamanan dan hak yang adil juga merasakan pintunya ditutup, maka beranggapan hanya kekerasan sahaja yang boleh memecahkannya. Kesannya, keseluruhan rantau dan negara barat menyokong drama yang zalim itu. Kebimbangan ini teryata apabila banyak kalangan negara barat dan pertubuhan hak asasi manusia mengutuk perkara yang berlaku, serta mendesak supaya Presiden Muhammad Mursi dibebaskan dan pilihanraya yang adil boleh diadakan semula dalam masa yang terdekat sekiranya tidak berpuashati terhadapnya.     


Tuan Guru Abdul Hadi Awang
http://bm.harakahdaily.net

Comments

Popular Posts