Rakyat Mesir masih sayang Ikhwanul Muslimin
MARANG: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, Ikhwanul Muslimin masih disayangi oleh rakyat Mesir apabila partinya menang besar dalam pilihan raya yang diadakan di peringkat parlimen.
Beliau berkata Ikhwanul Muslimin pernah diharamkan pada tahun 50-an tetapi kerja-kerjanya masih diteruskan oleh ahli-ahlinya.
“Ikhwanul Muslimin masih disayangi oleh rakyat negeri Mesir. Bila diumumkan demokrasi dan diadakan pilihan raya tiba-tiba mereka (Ikhwan) menang besar kerusi parlimen.
“Dibatalkan kemenangan menyebabkan Hosni Mubarak digulingkan dan buat pilihan raya semula tetapi menang Ikhwanul Muslimin juga kerana rakyat Mesir menyokongnya,” kata beliau ketika berucap pada majlis ceramah Isu Mesir Berdarah di Dewan Tok Guru, Rusila malam semalam.
Menurutnya, apabila Dr Mohamed Morsi menang mewakili Ikhwanul Muslimin pelbagai fitnah serta konspirasi dilakukan bagi menjatuhkan kerajaan Islam.
“Bila Dr Mohamed Morsi menang, dia calon Ikhwan, parti Islam kononnya, ada dakyah jika Islam menang dan parti Ikhwan naik akan jahanamlah Mesir.
“Kita kena faham, ini suatu kezaliman yang sangat dahsyat dan bagi kita orang Islam tidak boleh biarkan begitu sahaja,” tegasnya yang juga Ahli Parlimen Marang.
Sehubungan itu, beliau mengajak seluruh umat Islam agar mengambil sikap prihatin dengan nasib malang yang menimpa umat Islam di seluruh dunia.
“Apa yang penting, kita hendaklah bersama dengan kumpulan Islam dan pemimpin yang memperjuangkan Islam.
“Marilah kita sama-sama bersimpati dengan sahabat-sahabat di Palestin, di Syria, di Mesir dan semua negeri orang Islam yang menghadapi penindasan termasuk di Bangladesh. Kita semua adalah saudara seIslam.
“Jika sekiranya apa yang berlaku di Mesir, kita tidak terasa apa pun itu menandakan orang Islam ‘roh’ dia tidak ada, perasaan dia tidak ada dan sifat iman tidak ada dalam diri dia,” jelasnya lagi.
Ustaz Abdul Hadi bersama pimpinan di pentas serta para hadirin mengangkat empat jari sebagai simbol keteguhan, kekuatan, perjuangan dan kesatuan untuk seluruh penduduk yang mencintai kebebasan.
Pada majlis yang turut disertai wakil Kerajaan Palestin, Abu Eyash Ahmed An-Najjar tersebut berjaya mengumpul sumbangan orang ramai sebanyak RM13,400 bagi membantu umat Islam di Mesir, Syria dan Palestin.
Khairul Azlam Mohamad,24 Ogs 2013
Comments
Post a Comment